Cinta unik sang Pencipta




Cinta unik sang Pencipta
Cinta Allah ialah cinta unik. Untuk memapar kasih sayang, maka  diberinya kesakitan. Untuk menunjuk kebencian, diberinya kesenangan. Masih memberi walau disakiti setiap hari.


            Delisa, Umam dan sahabat-sahabatnya  yang lain sedang leka bermain bola. Delisa, kakinya sudah tiada. Dipotong akibat luka, kesan dari Tsunami yang melanda. Kesedihan menyelubungi setiap jiwa di bumi Acheh dan segenap pelusuk dunia.  Kelihatan seorang lelaki berlari-lari pantas ke arah mereka.

”Umam! Ibumu sudah dijumpai! ” Delisa saat itu menyangkakan berita itu buat dirinya.

”Abi..abi! umi sudah dijumpai. Abi!” Girang sungguh hatinya.

”Err..maaf nak Delisa, bukan ibumu tapi ibu Umam.”  Kata bapa Umam dengan serba salah

Saat itu Delisa air mata keluar dari tubir mata anak kecil itu. Jiwanya bagai diragut. Kanak-kanak yang dilihat kuat jiwa dan semangatnya itu akhirnya menangis teresak-esak. Jiwanya membentak. Sakit benar nampaknya.

”Mengapa umi Umam dijumpai dan bukan umi Delisa! Umam itu budak nakal berbanding Delisa. Semua orang sudah pergi dari hidup Delisa. Umi, kakak-kakak, mak cik Sophi, pak cik Smith juga. Allah tidak adil pada Delisa!” Jeritnya.

Luka dihatinya bagai tidak tertanggung. Ditolak ayahnya yang cuba memujuk. Delisa berlalu pergi dengan air mata masih mengalir terus. Deras bagai anak sungai yang tidak pernah lelah mengalir ke laut.


Cinta unik sang pencipta

Ujian, seringkali ia datang dengan berbayarkan linangan air mata. Hati bagai parah untuk menerima. Fizikal bagai kebas mahu menghadamnya. Walau bagaimanapun, Ujian adalah sahabat akrab setiap manusia. Hampir tiada manusia di bumi yang tidak pernah mengalami cubaan demi cubaan. Ada  yang jatuh tidak bangkit-bangkit apabila diuji dengan berat. Ada juga yang menjadi lebih bersemangat setelah menerima ujian. Bangkit melawan kegagalan dan akhirnya berjaya mengatasi kesedihan dan kemurungan.

Dengan berputarnya roda kehidupan, hari ini kita boleh mengimbas kembali filem-filem gambar sewaktu kecil dan melihat sendiri bagaimana ibu bapa melayan kita pada waktu itu. Ketika kita berseronok dengan rakan-rakan bermain di sungai yang deras airnya di kampung, ibu kita pasti datang dengan muka yang marah. Tidak cukup dengan itu, kemuncak kemarahannya mungkin kita menjadi bahana rotannya.

”Bukankah  ibu sudah berpesan, jangan bermain di longkang tersebut. Bahaya!” Marah ibu.

Pada saat itu, kita mungkin tidak memahami mengapa kita dimarahi, dirotan sedemikian rupa. Tetapi apabila meningkat dewasa, barulah kita faham bahawa ibu memarahi kerana sayang. Bukan kerana benci di dalam hati. Ada masa kasih sayang itu tidak ditunjuk dengan kata-kata manis, tetapi dengan kemarahan dan bahasa yang tidak enak di dengar

Begitu jugalah dengan kasih sayang Allah. Setiap kali Allah ingin menyedarkan hambanya dari kelalaian, maka diberikan ujian. Bukan sebagai satu hukuman, tetapi sebagai surat kasih sayang yang bersampulkan iman. Khas untuk hambanya. Dengan itu, kaki yang tersadung, akan kembali ke jalan yang betul.

Itulah cinta Allah, ia bukan sahaja unik, bahkan ada satu hadiah hebat yang sedang menunggu bagi yang melepasi halangan ini. Apakah hadiah itu? Hadiah tersebut ialah satu tempat maha hebat dambaan umat iaitu syurga. Sepertimana yang dinyatakan Allah di dalam surah al Baqarah ayat 214 , Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu?”

Ini bermakna, setelah ’surat cinta’ Allah sudah berjaya dilepasi satu demi satu dengan penuh kesabaran dan keteguhan hati, dengan izin Allah, syuga dambaan umat itu bakal dimiliki. Sebagai hadiah kecekalan hati dan bersangka baik dengan Allah.

Cinta unik ini diteruskan lagi dengan hadis laporan Bukhari dan Muslim ini,  Dari Abi Sa’id Al-Khudri dan Abu Hurairah, nabi Muhammad telah berkata, ” Tiada seorang Muslim pun yang mengalami penderitaan, kesiksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan atau kesedihan, walaupun hanya terkena satu tusukan duri, melainkan dihapuskan olah Allah (kerana kesusahan tersebut) sebahagian daripada kesalahannya.

Maha suci Allah, sungguh unik cinta jenis ini. Sudahlah berada dalam kesakitan dan ujian yang mencabar, tetapi masih lagi mendapat keampunan dari dosa-dosa yang membelenggu diri.





Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.